AMERIKA Syarikat telah mula mengharamkan beberapa syarikat teknologi yang berpusat di China untuk beroperasi di negara berkenaan. Sejak daripada Huawei, beberapa syarikat lain turut telah menjadi sasaran, dan paling terkini adalah TikTok.

Mengikut laporan NYT, Amerika Syarikat kini turut sedang pertimbangkan DJI sebagai ancaman sekuriti, dan mungkin melakukan perundangan untuk mengharamkan DJI.

Dron DJI kini digunakan meluas di Amerika Syarikat, bukan sahaja oleh pengguna awam, tetapi juga oleh pihak berkuasa di sana.

DJI dikatakan telah berada dalam senarai produk diharamkan untuk dibeli oleh tentera Amerika Syarikat – dan dijangka diperluaskan ke agensi persekutuan Amerika Syarikat lain.

Di samping itu, dikatakan pihak kongres Amerika Syarikat turut sedang pertimbang untuk menghalang perniagaan komersil DJI di Amerika Syarikat – dengan memetik ancaman sekuriti.

Penggunaan dron berkenaan dikatakan mendedahkan pelbagai data kritikal dan informasi yang boleh diakses pihak China. Dilaporkan perundangan baharu ini mungkin mengambil beberapa bulan sebelum dibentangkan sebelum melihat hasil daripadanya.

Jadi, adakah kita akan melihat DJI turut diharamkan di Amerika Syarikat selepas ini, lebih kurang seperti nasib menimpa Huawei? - Amanz